Apabila berjaya kembali pada saingan Liga Super 2021, siapa sangka juara Liga Perdana musim 2020, Penang FC, berjaya menunjukkan aksi yang konsisten dan mampu mencabar pasukan-pasukan yang lebih berpengalaman.

Ini telah dibuktikan oleh anak didik Thomas Trucha apabila mereka berjaya menduduki tangga kedua Liga Super buat masa ini.

Kedudukan semasa pasukan Penang itu sebenarnya memberi peluang pada Harimau Kumbang untuk bersaing di peringkat Piala AFC pada musim hadapan.




Ia merupakan peluang terbaik Penang untuk mencipta sejarah namun mereka perlu mencipta kemenangan pada perlawanan terakhir saingan Liga Super walaupun secara matematiknya Kedah mampu memintas sekiranya berjaya memenangi dua perlawanan terakhirnya.

Apa yang perlu dilakukan Trucha ketika ini ialah memberi penerangan secara terperinci tentang situasi pasukan supaya pemain-pemainnya dapat memahaminya dan akan terus kekal dengan pemikiran untuk mengekalkan mentaliti kemenangan.





Apa yang pasti dengan kemenangan sahaja akan dapat terus membangkitkan keyakinan dan semangat pemain-pemain Penang untuk mempersiapkan diri mereka dalam saingan Piala Malaysia dan seterusnya bagi musim hadapan.

Dalam situasi ini juga pemain-pemain kelab utara itu perlu terus fokus untuk perlawanan terakhir berkenaan supaya tidak kehilangan mata yang boleh menjatuhkan kedudukannya di tempat ketiga Liga Super kerana ini peluang terbaik untuk merealisasikan impian peminat-peminat Harimau Kumbang.

Ketika ini juga pengurusan Penang perlu terus bekerja dan mula membuat perancangan terutama mecari dana kewangan bagi persiapan pasukan untuk musim hadapan. Tetapi sebelum itu mereka perlu duduk semeja berbincang bersama Trucha tetang perancangan yang akan beliau lakukan musim hadapan.

Selain itu pengurusan juga perlu bijak dalam menghargai pencapaian pemain-pemainnya musim ini yang telah mengharumkan nama Penang FC.