Chelsea terpaksa bergantung kepada sepakan penalti masa kecederaan daripada Jorginho untuk mengatasi Leeds United dalam kemenangan dramatik 3-2 dalam Liga Perdana Inggeris semalam.

Gol daripada Mason Mount dan dua sepakan penalti daripada pemain Itali itu membatalkan gol pembukaan Raphinha dan gol lewat Joe Gelhardt di Stamford Bridge.

Selepas kehilangan tempat teratas liga minggu lalu susulan kekalahan 3-2 kepada West Ham, sebelum juga kehilangan tempat pertama dalam kumpulan Liga Juara-Juara mereka berikutan seri 3-3 di Zenit, satu lagi keputusan kurang baik adalah perkara terakhir yang diperlukan anak buah Thomas Tuchel.

The Blues hampir mengulangi kesilapan yang sama buat kali ketiga apabila pemain gantian Leeds, Gelhardt meledak gol penyamaan pada minit ke-83, namun terjahan Mateusz Klich terhadap Antonio Rudiger membenarkan Jorginho untuk memastikan kemenangan pada minit ke-94.