Pemilik Manchester United sedia melepaskan sebanyak 9.5 juta unit saham apabila berhasrat melepaskan lapan peratus pegangan saham mereka.

Kelab itu mengeluarkan satu kenyataan kepada Bursa Saham New York malam tadi dengan mengesahkan penjualan akan dilakukan atas nama Kevin dan Edward Glazer.

Penjualan saham itu akan membolehkan mereka memperoleh kira-kira £137.12 juta (RM779j) sekalipun United dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa 100 peratus keuntungan tersebut akan disimpan oleh keluarga Glazer.

"Manchester United tidak akan menikmati keuntungan penjualan saham Kelas A oleh pemegang saham yang menjualnya," demikian kenyataan yang dikeluarkan.

Ketua Pengerusi Bersama United, Joel Glazer, dalam sebuah forum bersama peminat pada Jun lalu pernah berjanji bahawa kelab itu merancang untuk melepaskan lebih banyak saham, sekali gus berpotensi membenarkan penyokong membelinya ketika kumpulan pemilikan itu berusaha membina hubungan dengan peminat berikutan kontroversi penyertaan ke Liga Super Eropah.

Hubungan keluarga Glazer itu dengan peminat merupakan pendekatan paling drastik pernah dilakukan selepas menyebabkan kelab berkenaan terpaksa menanggung hutang besar dalam usaha Malcolm Glazer membiayai pengambilalihan awalnya pada 2003 dalam bentuk pinjaman yang dijamin menerusi aset United.

Penglibatan mereka dalam cubaan merampas kuasa bola sepak kelab elit Liga Super memburukkan lagi perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong hingga mengundang krisis pengurusan, malah forum bersama peminat itu merupakan penampilan pertama Joel Glazer dalam tempoh 15 tahun sebagai pemilik saham.

Tiga bulan sebelum itu, Avram Glazer meletakkan lima juta saham yang bernilai £72.2j (RM410.1j) di pasaran tetapi tidak sesen pun ia tidak disalurkan kepada kelab.