Pengurus Portugal, Fernando Santos, percaya pemecatan Julen Lopetegui selaku pengendali Sepanyol tidak akan menggugat kestabilan dalam skuad juara Piala Dunia 2010 itu.

Persediaan Sepanyol di Russia dikejutkan dengan pemecatan Lopetegui selepas ketua jurulatih itu bersetuju untuk menggantikan Zinedine Zidane sebagai pengendali Real Madrid.

Bekas kapten, Fernando Hierro, akan menggantikan tempat Lopetegui bagi meneruskan cabaran Piala Dunia 2018, bermula dengan aksi pertama berdepan Portugal di Stadium Fisht awal pagi esok, namun Santos tidak menjangkakan sebarang kejutan daripada negara jiran itu.

"Ia bakal menjadi perlawanan pertama yang melibatkan dua pasukan terbaik," kata Santos.

"Saya tidak akan mengucapkan selamat maju jaya tetapi mengharapkan Sepanyol melalui kejohanan yang bagus. Segala situasi yang berlaku tidak akan merencatkan permainan.

"Sepanyol tetap akan cuba menang dan mereka percaya mampu melakukannya."

Pemain tengah Portugal, Joao Moutinho, turut bersetuju dengan pendapat Santos dan tonggak berusia 31 tahun itu percaya Sepanyol telah cukup bersedia untuk menghadapi saingan di Russia.

"Sepanyol telah melakukan persediaan rapi. Mereka telah menjalankan persiapan selama beberapa minggu.

"Kami menjangkakan pasukan yang kuat dan bersatu daripada mereka. Namun, kami juga memiliki skuad yang bagus dan berkualiti," ujar Moutinho.