Tonggak pertahanan Selangor, Mohd Razman Roslan, mengakui berbangga dengan perkembangan pemain-pemain muda dalam pasukannya setiap kali diberikan kepercayaan untuk turun beraksi.

Dia yang juga merupakan hasil produk pembangunan skuad muda Selangor amat kagum dengan kematangan yang ditunjukkan pemain-pemain baru seperti Adam Nor Azlin, Syahmi Safari serta K. Kannan.

Dalam masa sama, dia juga menyeru agar setiap pemain muda menanamkan sikap sentiasa mahu memajukan diri sendiri dan tidak mudah berpuas hati.

"Lebih ramai pemain muda bermakna akan ada lebih banyak pelapis untuk pemain senior dan jika kita tengok sebelum ini, sewaktu saya baru memulakan karier, Selangor telah melahirkan ramai bakat baru dan sehingga kini, Selangor masih dibarisi oleh kelompok-kelompok ini.

"Bagi saya, pembangunan di peringkat bawahan di sini agak baik," kata Razman.

Mengenai aksi Piala Malaysia yang bakal bersambung Sabtu ini, Razman mengharapkan tiga mata mampu diraih apabila bertandang ke Stadium Larkin untuk menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kedatangan kami ke sana membawa misi meraih tiga mata, bukan sekadar mahu mengelak bertemu Kedah tetapi kami mahu sentiasa fokus dalam setiap perlawanan untuk mencipta kemenangan," tambahnya.