ATLETICO 0 MILAN 1

Pengurus Milan, Stefano Pioli, memuji kisah indah Junior Messias yang memasuki tahun ketiga sebagai pemain profesional apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk kemenangan Rossoneri ke atas Atletico Madrid, awal pagi tadi.


Messias, 30, berpindah ke Itali untuk bekerja sebagai pemandu penghantaran sebelum berkecimpung dalam bola sepak Itali pada usia lewat 20-an.

Dia menanduk masuk hantaran lintang Franck Kessie ke penjuru bawah gawang yang dikawal Jan Oblak di Wanda Metropolitano itu pada minit ke-87 untuk menjamin kemenangan tipis Milan, sekali gus menghidupkan semula kempen mereka untuk layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).

Messias dipinjam daripada Crotone, lantas Pioli memberi gambaran wira mereka itu mungkin mempunyai masa depan yang cerah di San Siro.

"Kisahnya sangat menarik," kata Pioli kepada Amazon Prime Video Italia.

“Tetapi saya rasa ini baru satu permulaan untuknya memandangkan dia memiliki kualiti tinggi.

"Dia mengalami beberapa kesukaran ketika mula-mula tiba tetapi kini benar-benar akan membantu pasukan."




Milan akan berdepan juara Kumpulan B, Liverpool, dalam perlawanan seterusnya sambil Porto dan Atletico turut berpeluang untuk mengiringi The Reds.

Pioli tidak kesal dengan cara sambutan jaringan Messias itu apabila berkata: "Adalah wajar untuk meraikan pemain saya kerana mereka telah mempamerkan satu persembahan yang mengagumkan.

“Mereka bermain dengan kualiti dan keberanian, mereka sentiasa percaya kepada diri mereka sendiri dan ketika ini saya meraikannya bersama mereka.

"Ini adalah jalan yang tepat dan malam ini kami melihat satu persembahan penting berkaitan tahap kematangan pasukan ini."

Rakan sejawatannya di kelab Sepanyol itu, Diego Simeone, pula menolak kekecewaan berhubung keputusan berkenaan apabila sudah pun memusatkan tumpuannya kepada perlawanan terakhir Kumpulan B bertemu Porto, dua minggu lagi.

Kemenangan ke atas Porto akan memastikan tempat Atletico ke peringkat kalah mati sekiranya Milan gagal menewaskan Liverpool, lantas Simeone memberitahu wartawan: "Saya optimis, saya sentiasa begitu dan tidak akan berubah.

"Pasukan akan bersaing dengan baik. Saya tidak ragu-ragu bahawa UCL tidak mempunyai belas kasihan, dan siapa yang melakukannya akan mara.

"Milan boleh menang di tempat sendiri sementara Porto akan bermain di tempat sendiri sedangkan kami perlu bertandang ke tempat lawan. Siapa yang layak akan menang."