Davinson Sanchez berkata barisan pemain Tottenham memilih untuk memberikan sokongan buat Harry Kane tanpa mengira bagaimana saga mengenai masa depan pemain itu akan berakhir.

Kapten England, Kane, kini dikaitkan dengan satu perpindahan besar untuk menyertai pasukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.

Pengurus City, Pep Guardiola, secara terbuka menyatakan keinginannya untuk menandatangani Kane, yang juga telah memohon kepada Spurs untuk memebenarkannya meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim lalu.

Tottenham dikatakan telah menolak tawaran £100 juta (RM583.22 juta) daripada City untuk mendapatkan penyerang berusia 28 tahun itu pada Jun lalu dan juara bertahan itu dikatakan sedang mengusahakan satu tawaran baru sebelum jendela perpindahan ditutup.

Laporan terbaru mendakwa City sedang mempersiapkan satu tawaran bernilai £150 juta (RM874.82 juta) untuk mendapatkan Kane, yang masih mempunyai baki kontrak tiga tahun dengan Tottenham.

Saga perpindahan itu juga menyaksikan Kane terlepas perlawanan di antara kedua-dua pasukan itu dalam pembukaan musim baru EPL hujung minggu lalu, di mana Spurs memenanginya 1-0.

Kane telah disenaraikan oleh pengurus Spurs, Nuno Esprito Santo, bagi dua perlawanan pusingan kelayakan Liga Persidangan Eropah (UECL) menentang pasukan Portugal, Pacos de Ferreira.

Dan pertahanan Spurs, Sanchez, mendakwa seluruh skuad Tottenham akan mencuba sehabis baik untuk membantu Kane melalui waktu sukar ini.

"Saya rakan sepasukannya, jadi saya tidak boleh mengulas panjang mengenai situasinya," kata Sanchez kepada Football London.

"Ia situasi untuk dibincangkan Harry bersama orang atasan.

"Kami hanya berada di sini untuk menyokongnya dan sekiranya sesuatu berlaku, kami akan sentiasa berada di sampingnya.

"Jika dia berpeluang untuk bersama kami di atas padang, sudah pasti dia akan membantu kami, tiada keraguan mengenainya.

"Kami akan sentiasa di pihaknya dan segala keputusan yang akan berlaku atau yang dia akan buat, kami akan menyokongnya kerana dia telah memberikan segala-galanya buat kelab ini," katanya.