Penyerang Terengganu FC (TFC) II, Bruno Suzuki, mengambil positif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengekalkan tahap kecergasan di kediamannya sejak semalam.

Menurutnya, satu jadual lengkap telah diberikan kepada setiap pemain sebelum mereka menghantar video latihan itu kepada barisan kejurulatihan diketuai Roshadi Wahab.

Pemain kelahiran Brazil itu berkata, langkah itu sesuai ekoran garis panduan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang tidak membenarkan sesi latihan dan aksi persahabatan dijalankan.

"Ini merupakan 'kerja rumah' daripada jurulatih untuk setiap pemain mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh dua minggu ini.

"Latihan itu kemudian dilakukan dan kami akan hantar video itu kepada ketua jurulatih," jelas Bruno yang juga ketua pasukan TFC II.

Roshadi sebelum ini melahirkan kegusaran selepas isu Covid-19 memaksa saingan liga domestik ditangguhkan sekaligus menjejaskan rentak TFC II dalam Liga Premier.

TFC II ketika ini menjadi pasukan tunggal dengan rekod bersih 100 peratus menerusi empat kemenangan ke atas Selangor II, Perak II, Kuching FA dan Kelantan.

"Kalau ikutkan memang rasa ralat sebab momentum agak baik sekarang.

"Namun kami patuh kepada arahan pihak berkuasa dan berharap keadaan kembali pulih seperti biasa," tambah Roshadi.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)