PSG 4 REIMS 1

Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, gembira dengan jalinan gandingan di antara Edinson Cavani dan Neymar dalam kemenangan 4-1 ke atas Reims.


Gandingan Cavani dan Neymar tidak berada dalam keadaan terbaik musim lalu apabila sempat bertelagah mengenai sepakan situasi bola mati ketika bintang Brazil itu cuba meningkatkan jumlah golnya.

Sejak itu, kedua-duanya telah menyelesaikan perbezaan pendapat mereka dan membantu juara Ligue 1, PSG, mengekalkan permulaan sempurna mereka musim ini -- Cavani menyumbat dua gol sementara Neymar turut menemui sasaran penyudah.

Ditanya mengenai hubungan Neymar dan Cavani yang semakin rapat berbanding musim lalu dan adakah ia hasil peranannya, Tuchel berkata: "Anda harus bertanya kepada mereka! Pemain hebat perlu bermain dan hidup bersama-sama, ia sangat penting.

"Saya rasa Ney, Edi (Cavani), Angel (Di Maria) dan Kylian (Mbappe) mampu membentuk kumpulan yang mahu menang dan bertambah baik bersama-sama.

"Saya sering memberitahu mereka tentang harapan ini."

PSG merakamkan kemenangan ketujuh berturut-turut dalam usaha mempertahankan gelaran mereka tetapi penyandang juara itu terlebih dahulu perlu melayani pasukan bergelut, Reims, yang membuka jaringan selepas dua minit wisel ditiupkan menerusi Xavier Chevalerin.

Cavani membalas jaringan tersebut tiga minit kemudian selain menjaringkan gol ketiga PSG menuju waktu rehat selepas penalti Neymar pada minit ke-24 meletakkan tuan rumah di hadapan.

Rembatan pemain gantian, Thomas Meunier, menerjah jaring selepas 10 minit permainan bersambung, sekali gus menggembirakan Tuchel yang menyaksikan PSG memulihkan kelebihan lapan mata mereka di puncak liga.

"Saya sangat puas hati dengan persembahan pada 60 minit pertama, kami bermain dengan pantas dan mudah dengan beberapa pendekatan," kata pengurus dari Jerman itu. "Kami merampas bola dengan cepat, kami melakukannya sepanjang 60 minit."

Mengenai rekod permulaan cemerlang yang dilakar musim ini, Tuchel menambah: "Kami sangat gembira untuk mengatasi rekod ini. Ia menjadi asas untuk kami terus bekerja dengan baik."