Lionel Messi mengatasi cabaran daripada Cristiano Ronaldo dan Virgil Van Dijk untuk memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2019 sambil bintang Amerika Syarikat, Megan Rapinoe, mengungguli kategori wanita dalam majlis Anugerah Best FIFA di Milan, awal pagi tadi.

Messi kali pertama memenangi anugerah individu FIFA itu sejak dijenamakan semula dan dipisahkan dengan Ballon d'Or pada 2016.

Bintang Argentina dan Barcelona itu menduduki tempat kedua di belakang Ronaldo pada 2016 dan 2017 sebelum terlepas kedudukan tiga terbaik bagi edisi tahun lalu.

Pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, kini memiliki enam anugerah FIFA secara keseluruhan selepas mengetuai Barca memenangi trofi LaLiga bagi musim 2018-19 di samping menjaringkan 36 gol dalam 34 penampilan.

Dia terkandas dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah susulan kekalahan di tangan Liverpool sebelum The Reds mara ke final dan muncul juara.

Kejayaan Liverpool itu membolehkan Van Dijk dinamakan Pemain Terbaik Tahunan UEFA minggu lalu tetapi Messi mencuri tumpuan kali ini, sekali gus membuatkan persoalan siapa pemenang Ballon d'Or semakin hangat.

Ketika berucap selepas dinamakan sebagai pemenang, Messi berkata: "Saya mahu mengucapkan terima kasih. Bagi saya, anugerah individu adalah perkara kedua. Apa yang penting adalah keseluruhan.

"Namun, saya mempunyai isteri dan dua orang anak yang berada di sini.

"Mereka tidak tahu sama ada perlu mengucapkan tahniah atau bergambar daripada pemain bola sepak. Terima kasih banyak-banyak."

Bagaimanapun, Messi gagal meraih Anugerah Puskas selepas sepakan akrobatik pemain Debrecen, Daniel Zsori, ketika menentang Ferencvaros diundi selaku jaringan terbaik musim lalu, mengatasi gol lambungan Messi ketika berdepan Real Betis dalam saingan LaLiga.

Satu-satunya rakan sepasukan Messi daripada Barcelona yang menyertainya dalam Kesebelasan Utama FIFA FIFPro Lelaki adalah Frenkie De Jong susulan aksi hebat bersama Ajax, musim lalu.

Ronaldo dan Kylian Mbappe menyertai Messi di barisan depan, Liverpool diwakili oleh Van Dijk serta Alisson dan pengendali The Reds, Jurgen Klopp, dinamakan selaku Jurulatih Terbaik FIFA.

Senarai pemenang Anugerah Best FIFA

Pemain Terbaik (lelaki)
Lionel Messi (Barcelona/Argentina)

Pemain Terbaik (wanita)
Megan Rapinoe (Reign FC/Amerika Syarikat)

Jurulatih Terbaik (skuad lelaki)
Jurgen Klopp (Liverpool)

Jurulatih Terbaik (skuad wanita)
Jill Ellis (AS)

Penjaga Gol Terbaik (lelaki)
Alisson (Liverpool/Brazil)

Penjaga Gol Terbaik (wanita)
Sari van Veenendaal (Atletico Madrid/Belanda)

Anugerah Puskas
Daniel Zsori (Debrecen lawan Ferencvaros)

Kesebelasan Utama FIFA FIFPro (lelaki)
Alisson Becker
Virgil Van Dijk
Sergio Ramos
Matthijs De Ligt
Marcelo
Frenkie De Jong
Luka Modric
Eden Hazard
Lionel Messi
Cristiano Ronaldo
Kylian Mbappe

Kesebelasan Utama FIFA FIFPro (wanita)
Sari van Veenendaal
Lucy Bronze
Nilla Fischer
Kelley O'Hara
Wendie Renard
Julie Ertz
Amandine Henry
Rose Lavelle
Alex Morgan
Megan Rapinoe
Marta Vieria