Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, melihat kegagalan pemain tengah untuk berfungsi dengan baik dan sekadar mengharapkan keberkesanan Patrick Cruz dan Muhamadou Sumareh sebagai punca mereka sekadar seri 2-2 dengan Kedah dalam Liga Super di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Ini kerana, katanya, situasi itu tidak berlaku dalam tiga perlawanan terdahulu yang membawa kepada kemenangan skuad Tok Gajah.

Mengakui kecewa dengan keputusan yang diharap pada awalnya mampu berakhir dengan mata penuh, Dollah bagaimanapun melihat ada usaha daripada anak buahnya untuk kembali ke rentak asal, terutama selepas minit ke-60.

"Kami mengharap sangat penyerang dapat membuat sesuatu. Apa yang saya lihat, bantuan pemain tengah untuk penyerang agak lambat," katanya.

Dalam masa yang sama, Dollah menganggap satu mata yang dikutip anak buahnya berbaloi dengan prestasi permainan yang ditonjolkan selain Lang Merah beraksi di tahap terbaik mereka.

"Mereka (Kedah) cukup berpengalam dan bermain dengan tahap tinggi. Sebab itu, untuk mengatasi Kedah, bukan senang.

"Kalau mahu dibandingkan dengan Pahang, Pahang ramai pemain yang masih muda. Kedah sudah lama menunjukkan aksi konsisten," katanya lagi.

Dengan keputusan seri itu, Pahang kini terpisah enam mata dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mencipta kemenangan 4-0 ke atas Negeri Sembilan di Paroi.