Southampton menandatangani pemain kebangsaan Gabon, Mario Lemina, daripada juara Serie A, Juventus.

Lemina berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan nilai perpindahan EURO17 juta (RM85 juta).

Pemain berusia 23 tahun itu menyertai Juve dari Marseille pada 2015 tetapi sekadar beraksi dalam kesebelasan utama sebanyak 15 kali dan kini bertukar angin bagi menghidupkan semula kariernya bersama The Saints.

Lemina telah membuat 42 penampilan dalam semua pertandingan di bawah kendalian Massimiliano Allegri dan menjaringkan tiga gol.

"Saya sangat gembira kerana menyertai Southampton," katanya.

"Saya berasakan perancangan pasukan ini menarik perhatian saya."

Lemina merupakan pemain baru yang kedua dibawa masuk oleh Mauricio Pellegrino selepas pemain kebangsaan bawah 21 tahun Poland, Jan Bednarek, tiba dari Lech Poznan dengan kontrak selama lima tahun bermula bulan lalu.

Saints akan memulakan kempen 2017-18 dengan menerima kunjungan Swansea City, Sabtu ini.