Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, menggesa Philippe Coutinho untuk terus berusaha merebut tempat dalam kesebelasan utama selepas bintang perancang itu kembali menjaringkan gol buat The Catalans.

Coutinho kembali menyertai kesebelasan utama dalam perlawanan domestik sejak 2 Disember lalu.

Dia menjaringkan gol tunggal Barca melalui sepakan penalti ketika pasukan itu tewas 1-2 kepada Levante dalam perlawanan pertama pusingan 16 Copa del Rey, awal pagi tadi.

Jaringan itu -- yang pertama sejak membantu Barca menewaskan Real Madrid 5-1, Oktober lalu -- memberikan kelegaan buat juara bertahan itu selepas bolos dua gol dalam 18 minit pertama di Stadium Ciutat de Valencia.

Turut mendapat kepercayaan untuk kembali beraksi sepenuh masa adalah Ousmane Dembele dan Valverde berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan kedua-dua pemainnya itu sambil memberikan galakan untuk mereka terus merebut tempat dalam skuadnya.

"Ketika Dembele tidak diturunkan, semua orang bertanya mengenainya.

"Kini dia kerap bermain dan Coutinho tidak.

"Sekarang kamu semua bertanya tentang Coutinho pula.

"Apabila anda jarang diturunkan dan anda tidak menggemarinya, anda perlu melawan situasi itu.

"Saya memberikan peluang itu kepada mereka berdua dalam perlawanan ini.

"Coutinho seorang pemain yang hebat dan sentiasa memberikan yang terbaik kepada pasukan.

"Sama juga seperti Dembele.

"Ia akan sentiasa menjadi persoalan yang sama dengan nama berbeza," katanya.

Barca dijangka akan kehilangan tonggak utama dengan Lionel Messi, Luis Suarez, Gerard Pique dan Jordi Alba dijangka akan direhatkan dalam jadual padat bulan ini.

Valverde, bagaimanapun, mempertahankan pemilihan pasukannya itu.

Dia mendakwa penggunaan pemain muda seperti Juan Miranda, Chumi dan Jeison Murillo merupakan "perjudian" yang wajar dilakukan.

"Saya memilih pasukan terbaik yang saya ada.

"Tugas saya adalah untuk menilai setiap pemain dalam waktu sukar.

"Saya sedar risiko yang bakal berlaku, namun saya perlu berdepan risiko seperti itu," tambahnya.