Pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, menyatakan faktor keletihan menggugat persembahan pasukannya ketika tumpas 2-1 kepada PKNP FC dalam pertembungan Liga Super di Ipoh, malam tadi.

"Saya tahu ini bukan alasan tetapi jelas sekali, terutama dalam separuh masa kedua, pemain sudah mula menunjukkan keletihan. Kami juga kalah dengan situasi hantaran jauh pihak lawan.

"Mungkin sebab ini juga pemain melakukan kesalahan tidak munasabah dengan membuat kesalahan sehingga memberikan sepakan penalti," kata Irfan.

Secara dasarnya juga, ketua jurulatih TFC itu agak tertekan dengan kurangnya jumlah serangan yang dicipta oleh anak buahnya.

"Walaupun kami mengawal bola dengan baik, ia gagal disudahi dengan jaringan. Kami hanya mempunyai empat peluang ke arah pintu gol, satu berjaya dihasilkan dan tiga lagi tidak menemui sasaran.

"Jelas sekali, bagaimana hendak cipta jaringan jika kurang serangan berbahaya dibuat," ujarnya lagi.

Terengganu FC kini berada di kedudukan kelima Liga Super dengan 21 mata manakala PKNP naik satu anak tangga di tempat ketujuh.