Pemain hoki negara menerima baik pelantikan Arul Selvaraj sebagai penolong jurulatih skuad hoki negara susulan penstrukturan semula barisan kejurulatihan yang diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam.

Buat pemain senior, Razie Abdul Rahim, yang sudah melakukan 281 penampilan bersama Malaysia, faktor pengalaman yang dimiliki Arul menjadikan individu itu layak diberikan semula peranan dalam KHM.

"Bagi saya, penambahan barisan kejurulatihan adalah sangat bagus kerana kami memiliki ramai pemain baru dalam pasukan, jadi pengalaman yang dimiliki Arul dapat membantu.

"Kami pun ketika ini baru kembali berlatih, jadi penambahan jurulatih sangat membantu," katanya.

Perkara itu turut dipersetujui dua lagi pemain negara, Haziq Shamsul dan Noor Firdaus Rosdi.

"Arul seorang yang komited dan agresif, sangat bagus untuk pemain muda meningkatkan prestasi mereka," ujar Haziq.

"Bilangan penolong jurulatih makin bertambah dan Arul pula banyak pengalaman dalam bidang kejurulatihan dan berdasarkan faktor ini, saya yakin banyak ilmu dapat ditimba daripada Arul," tambah Noor Firdaus pula.

Arul akan memulakan tugasnya berkuat kuasa serta-merta pada 15 Ogos depan.