Krisis tunggakan gaji melibatkan pasukan bola sepak Perlis yang masih belum nampak jalan penyelesaian menjadikan suasana Hari Raya Aidilfitri yang mendatang seperti tiada makna buat majoriti pemain.

Bola sepak Perlis kini berada dalam krisis besar apabila presiden dan setiausaha Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) meletak jawatan selain tiada siapa mahu mengambil alih tugas tersebut dalam masa terdekat.

Menurut salah seorang pemain Perlis, Razif Hafizi, yang mewakili pemain mendedahkan ramai antara mereka kesempitan kewangan dan terpaksa berhutang selepas tidak menerima gaji sejak Mac lalu.

Ditambah menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan, dia menganggap ia tidak memberi sebarang makna kepada pemain Perlis yang masih tertanya-tanya sumber mata pencarian mereka.

"Ia merupakan satu masalah yang kritikal buat pemain Perlis. Kewangan pemain-pemain merupakan satu keutamaan menjelang sambutan hari raya," kata Razif.

Selain itu, Razif malu dengan pengumuman Bendahari PFA, Nock Mohd Akhir, yang meminta sumbangan orang ramai bagi membayar gaji pemain dan pegawai.

Baginya, sebagai sebuah persatuan mentabdir urus negeri, ini tidak sepatutnya berlaku dan mencemarkan maruah bola sepak Perlis.

"Kami agak malu dengan situasi ini. Kami berharap Menteri Besar Perlis yang baru akan membantu kami mengatasi isu ini."