Ke mana hala tuju PKNP FC atau kini dikenali sebagai Perak II?

Ini kerana tiada sebarang perkhabaran mengenai pasukan itu sejak disahkan menjadi pasukan pelapis (feeder) Perak.

Setakat ini, tiada sebarang usaha daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) untuk mengadakan perbincangan atau pertemuan dengan pengurusan pasukan berkenaan.

Berikutan itu, tiada seorangpun pegawai PKNP FC dapat menjelaskan mengenai kedudukan pemain untuk Liga M musim 2020.

Hanya kapten, Mohd Hafiz Ramdan, yang sudah terjamin kedudukannya kerana sudah diserapkan ke dalam pasukan Liga Super The Bos Gaurus itu.

Beberapa pemain seperti Mohd Syazwan Zaipol Bahari dan Fadhil Idris dan beberapa pemain lagi sudah angkat kaki ke pasukan lain.

Berikutan tiada sebarang jaminan daripada PAFA, pemain dan pegawai pasukan keluh-kesah memikirkan masa depan mereka.

Apa yang pasti, pemain dan seluruh pasukan ibarat anak ayam kehilangan ibu.

Oleh yang demikian, PAFA perlu segera mengadakan rundingan dengan pemain Perak II agar mereka dapat membuat keputusan bagi menentukan hala tuju mereka.

Sebagai majikan baru, PAFA perlu mengambil tindakan sewajar bagi memastikan nasib pekerja mereka terbela.