Barisan pemain dan pegawai kejurulatihan Kuantan FA sudah hilang sabar kerana belum menerima gaji sejak Disember lalu dan memberi kata dua kepada pihak pengurusan agar perkara ini tidak berlarutan ke tahap tindakan undang-undang.

Kekecewaan mereka tidak dapat dibendung lagi selepas tempoh masa diberikan hingga semalam agar sekurang-kurangnya pengurusan mampu melunaskan sebulan daripada gaji, bagaimanapun, masih gagal dipenuhi.

Bertambah parah, ada pemain terpaksa meminjam wang daripada jurulatih, Ismail Zakaria, selain ada yang kehilangan kediaman kerana gagal membayar sewa rumah.

Ismail berharap pengurusan mampu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin bagi memastikan moral pasukannya tidak terjejas.

"Saya berharap pihak pengurusan mengambil serius perkara ini kerana ia akan membantu mentaliti pemain untuk terus menghadapi saingan," kata Ismail.

Ketua pasukan, Alexandru Tudose, menyifatkan pengalaman ini cukup pahit sepanjang bergelar pemain profesional.

Jika isu itu gagal diselesaikan dalam masa terdekat, Tudose menjelaskan pemain-pemain sudah ada beberapa tindakan susulan yang akan dibuat.

"Tidak pernah sepanjang hidup saya tetapi saya tidak boleh merungut. Ia lebih sukar buat pemain tempatan kerana mereka tidak menerima jumlah wang yang banyak. Bagi kami (pemain import), adalah lebih baik mereka menerima bayaran terlebih dahulu berbanding kami," kata Tudose.