"Kami seperti berada di medan perang."

Di sebalik kejayaan menundukkan Indonesia 3-2 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 semalam, itulah situasi sebenar yang dirasai pemain negara sepanjang berada di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta hingga terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda.


Suasana di stadium itu ternyata memberi pengalaman baru buat hampir kesemua pemain negara.

Mereka melihat sendiri insiden keganasan penyokong tuan rumah itu di depan mata yang menyebabkan keadaan tidak terkawal.

Atas faktor keselamatan, kesemua pemain dan pegawai pasukan negara menaiki Barracuda untuk pulang ke hotel penginapan.

Pihak keselamatan tuan rumah menyediakan lima kereta perisai bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku ke atas skuad negara.

"Saya rasa macam di tempat yang sedang berperang sebab saya tidak pernah hadapi situasi penonton turun nak serang, naik Barracuda.

"Ia pengalaman saya dalam industri bola sepak," kata penyerang negara, Safawi Rasid.

Pemain tengah, Syafiq Ahmad, menambah: "Apa yang terjadi dalam separuh masa kedua itu tidak perlu diambil tahu kerana kami hanya pergi (bermain) untuk habis-habisan.

"Sebab kami tahu kalau penyokong masuk sekalipun, masih ada polis, jadi kami tidak perlu takut untuk bermain dengan cara kami sendiri."

Sebagai rekod, ia merupakan kali ketiga skuad bola sepak negara terpaksa menaiki Barracuda selepas insiden pertama dalam final Piala Suzuki AFF 2010 sebelum final Sukan SEA 2011.