ATALANTA 2 AC MILAN 3

Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, menggalakkan pemainnya untuk memasang impian memenangi Scudetto musim ini selepas menyamai rekod permulaan terbaik mereka dalam sejarah Serie A hasil kemenangan 3-2 ke atas Atalanta awal pagi tadi.

Rossoneri memastikan kemenangan di laman Atalanta itu untuk kini melonjak ke tangga kedua liga dengan 19 mata daripada tujuh perlawanan, sekali gus menyamai rekod terbaik mereka ketika memenangi kejuaraan liga musim 2003-04.

Davide Calabria membuka jaringan seawal 30 saat pertama -- rekod ketiga terpantas buat Milan dalam Serie A sejak musim 2004-05 (sejak Opta mula merekodkan data ini), di mana hanya Rafael Leao (enam saat ketika berdepan Sassuolo) dan Sulley Muntari (18 saat ke atas Juventus) pernah menghasilkan jaringan lebih pantas.

Sandro Tonali dan Rafael Leao turut menemui jaringan sepanjang aksi bersemangat tinggi yang dipamerkan Milan itu untuk Pioli kini terbuka membincangkan peluang pasukannya untuk mencabar kejuaraan.

"Kami perlu bermain untuk menang dalam setiap perlawanan, kami bermain dengan kualiti dan tenaga," kata Pioli mengenai pemburuan kejuaraan Serie A pertama Milan sejak musim 2010-11.

"Perlawanan ini melengkapkan tempoh positif kami, di mana pasukan kami sentiasa memberikan respons, termasuk ketika tewas dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Ia bermakna, kami sedang meningkat.

"Adakah Tonali bercakap mengenai Scudetto? Ia sesuatu yang wajar untuk memiliki impian itu. Kami mempunyai peluang untuk membuktikan yang kami boleh bersaing dalam setiap perlawanan.

"Ia perjalanan selama dua tahun tetapi kami kini tidak boleh berpuas hati dan perlu kekal rendah diri dan menghormati lawan.

"Malam ini, kami melakukannya dengan amat baik berbanding apa yang kami tidak lakukan sepanjang setengah jam ketika berdepan Liverpool. Kami amat dinamik," katanya.

Milan seterusnya akan menantikan kunjungan Hellas Verona di San Siro selepas tamat waktu rehat antarabangsa pada 16 Ogos depan.