Selain berdepan dengan cabaran provokasi penyokong tuan rumah dalam aksi sulung kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Indonesia Khamis ini, skuad Harimau Malaya juga perlu bersedia untuk menghadapi satu lagi cabaran lain.

Ia berikutan beberapa pemain yang mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia (Liga-M) telah disenaraikan dalam skuad Garuda, yang dijangka bakal memberikan tentangan sengit kepada pasukan negara pada aksi Kumpulan G itu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, nanti.

Selepas bekas pemain Selangor dan Kedah, Andik Vermansah, yang kini beraksi dengan Madura United, bekas pemain Selangor, Evan Dimas (Barito Putera) serta bekas pemain Kelantan, Ferdinand Sinaga (PSM Makassar), telah disenaraikan sejak awal dan kini jurulatih Indonesia, Simon McMenemy, telah memanggil pemain muda, Saddil Ramdani.

Pemain tengah berusia 20 tahun itu yang beraksi bersama Pahang sejak awal musim ini, dipanggil menggantikan pemain naturalisasi kelahiran Nigeria, Greg Nwokolo, yang cedera.

Perkara sudah pasti akan menimbulkan sedikit kerisauan buat ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan anak-anak buahnya kerana pemain-pemain tersebut sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan pemain Malaysia.

“Ya memang ada kemungkinan besar pemain ini memaklumkan kepada jurulatih mereka apa kekuatan dan kekurangan pemain Malaysia. Kami masih pergi dengan misi kami dan perlu berhati-hati, tidak boleh membuat kesilapan yang boleh menjejaskan kempen skuad negara," kata Cheng Hoe.

“Sebab itu saya ingatkan pemain supaya fokus sejak minit pertama lagi. Dalam bola sepak, kalau kami pergi dengan persediaan yang terbaik, kami boleh mengatasi perkara sedemikian tetapi itu atas keyakinan individu dan kerja sepasukan.

“Dalam masa sama, pemain kena yakin apabila turun ke perlawanan nanti. Selain itu, corak perlawanan Indonesia ketika menentang Malaysia dalam 10 tahun ini, mereka memang bermain macam seteru utama," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Sementara itu, pemain tengah negara, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, yang beraksi bersama Saddil di skuad Tok Gajah mengakui bahawa kehadiran Saddil dan Andik menjadi kelebihan buat skuad Garuda.

“Bagaimanapun kami tetap fokus pada perlawanan dan akan cuba lakukan yang terbaik pada untuk membawa pulang mata. Kami memang menyangka perlawanan yang sengit kerana setiap kali bertemu Malaysia, semangat mereka lain macam,” katanya.

Skuad negara dijangka berlepas ke Jakarta pada pagi esok menjelang perlawanan itu, selepas tewas tipis 0-1 menentang Jordan pada aksi persahabatan pada Jumaat lalu.

-- BERNAMA