Tindakan pengendali Pahang, Dollah Salleh, yang memuji aksi Sarawak dalam pertemuan Liga Super sebelum ini menjadi penyuntik semangat buat skuad Bujang Senang untuk bangkit berdepan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, malam ini.

Kata-kata Dollah yang merujuk kepada penguasaan sempurna Sarawak -- meskipun Pahang menang 1-0 -- ibarat pembakar semangat untuk skuad kendalian David Usop meneruskan pencarian tiga mata.

Tegas David, anak buahnya banyak menguasai permainan dan kekalahan mereka dalam aksi lain sebelum ini hanya dibezakan dengan satu jaringan.

"Untuk menaikkan semangat pemain, saya memberitahu mereka bahawa aksi mereka minggu lalu mendapat pujian Dollah Salleh.

"Saya mahu mereka mengekalkan permainan sama jika mahu mencabar pasukan lain," katanya.

David lega majoriti pemain yang bakal diturunkan adalah pilihan utama, malangnya terpaksa merehatkan Nor Shamie Azuan yang mengalami kecederaan selepas pulang dari Vietnam bersama dengan skuad bawah 22 tahun negara kendalian Frank Bernthard.

"Saya memberitahu mereka apa yang penting adalah untuk menjaringkan gol. Pemain penyerang perlu lebih tenang di dalam kotak penalti."