Menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon, mengakui pemainnya mula berasa kepenatan sepanjang seminggu berada dalam kem latihan pusat Harimau Malaya.

Bagi pengendali berusia 53 tahun itu, kepenatan berkenaan merupakan satu petanda baik dalam membentuk DNA baru skuad senior kebangsaan.

Tambahnya, dalam usaha untuk mengubah wajah dan DNA skuad kebangsaan, ia perlu melalui pelbagai aspek dan dalam tempoh seminggu ini, pelbagai informasi telah disalurkan kepada pemain, termasuk daripada aspek fizikal dan mental.

90 minit perlawanan menentang Brunei esok juga akan dapat menilai sejauh mana setiap pemain memahami perubahan yang cuba diterapkannya.

"Saya fikir mereka (pemain) agak kepenantan, bukan kerana tubuh mereka tetapi ia disebabkan informasi yang diterima mereka," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Tetapi daripada segi persepsi saya, pemain kita telah melakukan tugas mereka dengan amat baik, amat cepat menyesuaikan diri, mudah memahami.

"Apa sahaja yang saya mahu lihat, mereka tunjukkan kepada saya," katanya.