Penolong jurulatih pasukan kebangsaan, Hassan Sazali Waras, membayangkan beberapa pemain tonggak Kedah akan membarisi skuad negara untuk menghadapi Korea Utara dalam saingan Kumpulan B, kelayakan Piala Asia di Pyongyang, 28 Mac depan.

Katanya, 34 pemain telah disenaraikan untuk kem latihan pusat dan senarai akhir pemain untuk perlawanan itu akan diumumkan sekembalinya jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, daripada kursus di Queens Park Rangers (QPR), awal bulan depan.

Baddrol Bakhtiar dan Akram Mahinan adalah antara pemain Kedah yang berada dalam pemantauan skuad kebangsaan.

"Kekuatan pasukan Kedah buat masa sekarang adalah di bahagian tengah. Kalau saya perhatikan Baddrol telah berubah posisi dan kini bermain di sebelah kanan.

"Maka, tiada masalah kepada Baddrol kerana pemain ini diletakkan di mana-mana posisi pun, dia sebenarnya efektif kepada pasukan. Jurulatih (Kedah) Tan Cheng Hoe memberi kepercayaan kepadanya. Setakat ini, saya rasa dia tidak pernah terlepas daripada kesebelasan utama," katanya.

Selain pemain dari Kedah, Hassan mengesahkan dua penyerang berpengalaman, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, juga berada dalam radar skuad kebangsaan berlandaskan prestasi yang dipamerkan setakat ini.

"Pemain-pemain ini memerlukan perlawanan minimum. Kita tahu Safee dan Norshahrul adalah antara pemain senior. Setakat ini, Safee telah menjaringkan dua gol dan Norshahrul menjaringkan satu gol musim ini. Saya harap persembahan baik mereka bersama pasukan masing-masing berterusan," tambahnya.

Skuad negara bakal berdepan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 22 Mac depan sebagai persiapan sebelum berdepan Korea Utara.

Tarikh latihan pusat skuad negara akan diumumkan dalam masa terdekat selepas kepulangan Kim Swee dari London.