Pemain kacukan Malaysia-Australia, David William Rowley, menjadi taruhan baharu skuad The Red Warriors (TRW) bagi memperkuatkan pasukan itu dalam saingan Liga Malaaysia (Liga-M) bermula minggu depan.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam satu kenyataan berkata pihaknya mempertaruhkan khidmat pemain kacukan itu selepas menandatangani kontrak hari ini.

"Pemain itu akan didaftarkan sebagai pemain tempatan dan menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan musim ini.

"Pemain berusia 28 tahun berasal dari Brisbane, Australia itu akan bermain di posisi tengah pasukan untuk digandingkan dengan pemain tempatan dan import yang lain," kata kenyataan itu.

Untuk rekod, TRW hanya tinggal seorang lagi pemain import bagi memenuhi kuota pemain terbabit selepas berjaya mendapatkan dua pemain asing dari Brazil, Cassio Francisco de Jesus, Flavio Beck Júnior dan bekas pemain kebangsaan Afghanistan, Mustafa Zazai.

Menurut kenyataan itu, pemain kacukan itu mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Liga-M berikutan pernah menyarung jersi pasukan Negeri Sembilan musim lalu.

"Dia juga sebelum ini mempunyai pengalaman bermain di kelab Eropah, terutama liga Jerman, antaranya dengan Tennis Borussia Berlin dan CS Grevenmacher.

"Kami meletakkan harapan tinggi kepadanya bagi membantu pasukan mencapai sasaran merangkul trofi Piala Liga Perdana, sekali gus kembali beraksi dalam saingan Liga Super," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Rowley berkata dia amat gembira apabila diberikan peluang beraksi bersama pasukan yang mempunyai nama besar seperti Kelantan dalam saingan Liga-M.

"Saya dapat beraksi dengan pemain muda yang berbakat, kerja keras dan berkualiti yang dimiliki oleh pasukan ini untuk memberikan cabaran kepada pasukan lain.

"Misi saya adalah untuk membantu pasukan Kalantan kembali ke Liga Super 2020," katanya.

-- BERNAMA