Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) II, Hamzani Omar, masih belum berpuas hati dengan aksi pemainnya meskipun bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat UiTM FC 2-2 dalam aksi Liga Perdana, semalam.

Aksi berdepan UiTM menyaksikan kealpaan pertahanan JDT II sehingga membolehkan tuan rumah menguasai babak pertama dan mendahului menerusi gol Saddam Hashim dalam babak pertama.

UiTM kemudian melebarkan jurang gol menerusi Akkani Sunday dalam babak berikutnya sebelum dua gol Nicolas Alberto memastikan satu mata buat pelawat.

"Sudah tentu kami perlukan perubahan untuk bermain dengan lebih baik lagi.

"Saya harap untuk aksi berikutnya, pemain mempamerkan konsentrasi 120 peratus di laman sendiri," kata Hamzani ketika ditemui di Shah Alam, semalam.

Dalam pada itu, pengendali UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, mengakui faktor kekurangan pengalaman pemain menafikan kemenangan pasukannya ke atas pasukan dari selatan itu.

"Kami menentang sebuah pasukan yang penuh berpengalaman.

"Jelas sekali pemain-pemain saya memerlukan lebih banyak pendedahan lagi.

"Namun, ekoran kekangan masa memandangkan kebanyakan pemain terdiri daripada penuntut UiTM, mereka juga terpaksa memberi fokus kepada tugasan pengajian dan peperiksaan.

"Jadi, saya perlu bijak membuat percaturan penggiliran pemain dan Alhamdulillah, kami membuat persiapan awal musim ini dengan menyenaraikan 30 pemain.

"Tiga pemain yang diturunkan pada hari ini adalah muka baru dan mereka telah bermain dengan baik," ujarnya.