INTER 5 SAMPDORIA 1

Antonio Conte menganggap dia telah menjadikan pemain Inter lebih berharga di pasaran selepas mendesak mereka untuk berubah dengan ketaksuban.


Inter meraikan kejayaan mengecapi Scudetto sejak semalam dengan kemenangan 5-1 Sampdoria di San Siro, awal pagi tadi, sambil diberi iringan kehormat sebelum sepak mula.

Ia kemenangan ke-14 berturut-turut Inter di gelanggang sendiri untuk rekod kelab itu selepas gol berganda daripada Alexis Sanchez sementara masing-masing satu jaringan daripada Roberto Gagliardini, Andrea Pinamonti dan Lautaro Martinez membantu kemenangan bergaya mereka.

Conte mengakhiri dominasi Juventus dalam Serie A untuk Nerazzurri menawan trofi itu selepas 11 tahun dan dia juga menganggap tahap pengurusannya telah menjadikan pemain Inter lebih bernilai.

Dia berkata kepada Sky Italia: "Saya rasa usaha yang kami laksanakan selama dua tahun ini telah membuat perbezaan besar, skuad bertambah baik bukan hanya di atas padang malah daripada segi nilai pasaran.

"Pasukan ini jauh lebih berharga berbanding ketika saya mula mengambil alih, dan saya rasa pelaburan dalam pengalaman saya telah membuahkan hasil.

"Saya sentiasa percaya kehadiran saya ini akan membawa harapan tertentu. Saya rasa harapan itu kini sudah dipenuhi"




Tambahnya: "Pemain-pemain ini masih boleh pergi lebih jauh, khususnya mereka mampu meningkat daripada segi mental tetapi kini mereka adalah juara dan mereka sudah tahu apa yang harus dilakukan.

"Sejak kami berada di puncak saingan, kami sama sekali tidak melepaskan peluang. Kosong. Kami langsung tidak mengendurkan usaha termasuk hari ini.

"Saya sering mengatakan bahawa kemenangan harus menjadi satu ketagihan untuk pemenang, seperti ubat yang mereka perlukan. Seterusnya kami akan menghadapi Roma, mari buat langkah demi langkah dan terus berusaha untuk mendapatkan hasil yang terbaik dalam setiap perlawanan."

Kontrak pengurus berusia 51 tahun itu akan berakhir pada 2022 tetapi kedudukannya masih tidak menentu berikutan masalah kewangan akibat kekangan COVID-19.

"Saya di sini untuk membincangkan tentang soal masa kini, bukan masa depan. Kami sedar betapa kuatnya kami bekerja, berapa banyak yang kami menderita jadi kami harus menikmati saat ini," katanya.

"Selama dua tahun ini, kami telah mengembalikan kredibiliti kepada Inter, kelab, pasukan dan peminat. Saya selalu terlepas peluang untuk meraikan sesuatu dalam kehidupan saya, kali ini saya ingin menikmatinya sepenuhnya."