Perubahan yang berlaku dalam skuad negara tidak menyulitkan pemain apabila R. Kogileswaran mendedahkan teknik latihan yang tidak membebankan memudahkan lagi proses perubahan yang ditetapkan pengendali baru Kim Pan-gon.

Apa yang pasti keberkesanan Kogileswaran hanya terbukti menerusi pencapaian individu bersama skuad negara tetapi daripada segi pencapaian sesebuah pasukan, Kogileswaran menganggap ia sebagai cabaran baru.

"Paling penting saya berikan 100 peratus dan yang terbaik dalam sesi latihan.

"Dari situ barisan kejurulatihan akan tengok kemampuan saya," kata tonggak Petaling Jaya City itu.




Dalam pada itu, Zhafri Yahya yang menggantikan Darren Lok mengakui sedang mengadaptasi peralihan selaku pemain kebangsaan.

"Saya memang ingin berada dalam Harimau Malaya. Sepanjang keberadaan dalam senarai menunggu, saya sentiasa berfikiran positif.

"Mungkin jurulatih melihat saya sesuai dengan perancangan taktikalnya jadi saya sangat bersyukur berjaya menempatkan diri dalam skuad 30 pemain ini.

"Saya perlukan melalui proses untuk memahami taktikal dan permainan yang jurulatih mahukan.

"Paling penting saya fokus dan beri apa yang dia hendakkan," kata pemain tengah Kuala Lumpur City itu pula.

Skuad kendalian jurulatih baru dari Korea Selatan itu akan melalui dua perlawanan ujian kategori A iaitu berdepan Filipina dan Singapura pada Rabu dan Sabtu depan sebagai persiapan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 di tempat sendiri, Jun depan.