Pertahanan Barcelona, Jordi Alba, menempelak khabar angin yang mengatakan dia dapat sekumpulan pemain lagi tidak sedia berkorban dalam usaha mengekalkan Lionel Messi.

Tindakan ketua pasukan, Gerard Pique, yang memotong sejumlah besar gajinya membolehkan muka baru seperti Memphis Depay dan Eric Garcia dapat didaftarkan, sehari sebelum mereka membuka kempen LaLiga, awal pagi tadi.

Selepas menumpaskan Real Sociedad 4-2 di Nou Camp itu, Pique mengesahkan rakan sepasukannya yang terdiri daripada Alba, Sergio Roberto dan Sergio Busquets masing-masing turut mengambil langkah serupa demi meringankan beban kewangan kelab.

"Komitmen saya kepada Barca sentiasa sepenuhnya. Saya berada di sini sepanjang hidup saya, 10 tahun dalam pasukan pertama dan lapan dalam kategori belia," kata Alba kepada wartawan selepas perlawanan.

"Saya boleh bercakap atas kapasiti diri sendiri dan untuk presiden (Joan Laporta). Kami semua menuju ke arah yang sama. Seperti yang dikatakan Gery, komitmennya tetap sama. Sekarang giliran kami (setuju gaji dipotong) dan tiada keraguan tentang komitmen kami.

"Apa yang menyakitkan saya ialah pembohongan yang timbul. Saya telah menunjukkan tentang perasaan saya terhadap Barca. Kelab ini telah banyak memberikan saya dan kami harus bersyukur. Apa yang menyakitkan saya ialah pembohongan.

"Saya rasa perlu diberi muka, saya tetap mencurahkan segala kudrat seperti yang selalu saya lakukan di atas padang. Segala-galanya boleh berubah menjadi lebih baik mahupun buruk tetapi tidak ada keraguan terhadap komitmen saya.

"Komitmen saya ialah membantu kelab, sebagaimana ketua pasukan yang lain."




Alba mengakui terkesan pemergian Messi atas hubungan erat mereka di dalam dan luar padang jadi dia tidak senang dengan tanggapan bahawa mereka tidak rela berkorban untuk kelab.

Namun, dia menegaskan ia di luar kemampuannya serta kapten yang lain daripada segi kewangan dalam usaha mengekalkan pemilik enam Ballon d'Or itu di Camp Nou.

"Leo, selain menjadi yang terbaik dalam sejarah kelab merupakan pemain yang paling saya fahami. Jadi bayangkan usaha yang pasti saya lakukan untuknya," kata bek kiri itu lagi.

"Leo adalah isu yang berbeza, ia berkaitan masalah dengan kelab. Apa yang saya tidak senangi ialah pembohongan dan perkara sulit yang didedahkan hingga menyebabkan kelibat saya diragui.

"Saya akan menjadi orang yang pertama mengakuinya jika saya bersalah, tetapi saya tidak boleh tahan dengan pembohongan."