ARSENAL 1 WATFORD 0

Mikel Arteta menyifatkan pemainnya sebagai "paling jujur" selepas Claudio Ranieri menuduh mereka kurang ajar ketika Arsenal menewaskan Watford 1-0 di Stadium Emirates lewat malam tadi.

Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, pengurus Watford, Ranieri, tidak berpuas hati apabila pemain Arsenal tidak memberikan semula bola ke pihaknya selepas ia dikeluarkan bagi memberikan rawatan buat pemain yang cedera dan gerakan itu kemudian mencetuskan gol tunggal perlawanan yang dijaringkan Emile Smith Rowe.

Kemenangan itu turut menyaksikan The Gunners melebarkan rekod tanpa kalah kepada 10 perlawanan berturut-turut dalam kesemua kejohanan dan menandakan perlawanan ke-100 Arteta sebagai pengurus dengan kemenangan.

Arteta mempertahankan sepenuhnya pemainnya dengan mendedahkan bahawa adakala pasukannya bertindak terlalu jujur.

"Jika saya perlu menggambarkan pemain, pasukan dan kelab saya, saya perlu katakan bahawa mereka adalah yang paling jujur -- kesemua mereka.

"Pada beberapa ketika, kami juga boleh menjadi terlalu naif.

"Tetapi jika Raneiri berasakan seperti itu terhadap kelab kami, saya perlu memohon maaf jika itu kesnya tetapi sudah pasti niatnya bukan untuk mengambil kesempatan," katanya.

Kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, sekali lagi gagal menyudahkan sepakan pelanti dalam EPL dan ia merupakan kali kedua dia gagal menyempurnakan sepakan itu daripada keseluruhan 11 dalam kesemua kejohanan tetapi Arteta tetap yakin dengan kemampuan ayam tambatannya itu.

"Aubameyang akan kekal mengambil penalti jika dia gembira untuk melakukannya.

"Anda juga boleh gagal sewaktu mengambil sepakan penalti. Ia sebahagian daripada karier dan tugas anda," tambahnya.