Kapten Selangor, Razman Roslan, serta tonggak veteran, Amri Yahyah, mengakui skuad Red Giants kini memerlukan kebangkitan segera selepas kalah 4-1 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu.

Bagi Razman, bukan mudah untuk bangkit selepas kekalahan besar di tempat lawan.

Namun, Razman menyifatkan tempoh rehat seminggu liga kini mampu memberi peluang buat Selangor memulihkan diri dan lebih bersedia untuk berdepan Pahang, 24 Februari ini.

"Selepas kekalahan besar di Terengganu, moral kami sedikit-sebanyak menurun.

"Tetapi, mujurlah liga akan berehat. Jadi, kelemahan itu boleh diperbaiki dalam tempoh ini.

"Insya-Allah kami melakukan dengan baik semasa dalam latihan agar dapat dijelmakan dalam perlawanan sebenar," katanya.

Nada sama turut disuarakan Amri yang menyifatkan kekalahan kepada Terengganu FC perlu dijadikan satu pengajaran buat Selangor.

Amri menyarankan rakan sepasukan menyerlahkan perwatakan lebih ampuh untuk aksi berdepan Pahang.

"Kekalahan ini masih terlalu awal, saya harap ia menjadi pengajaran buat Selangor.

"Kami akan tingkatkan lagi usaha.

"Saya juga berharap pemain-pemain lain akan bersungguh-sungguh dalam perlawanan akan datang," kata pemain yang beraksi di bahagian serangan itu.