Jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak, tampak bermain dengan psikologi apabila menganggap peluang pasukannya untuk mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah 50-50.

Ini walaupun skuad Lang Merah berada pada prestasi terbaik berbanding lawan yang gagal mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan terakhir Liga Super.

"Saya berasakan ia adalah perlawanan 50-50, selepas dua perlawanan gagal meraih mata penuh, sudah pasti mereka akan cuba melakukan yang terbaik sementara kami akan kekal konsisten ketika bertahan," kata Aidil.

Kedah mempunyai kelebihan berdasarkan prestasi semasa menerusi dua kemenangan berturut-turut dan menariknya mereka menghasilkan enam gol daripada dua perlawanan berkenaan.

Ia sekali gus menyerlahkan ketajaman penyudah jentera serangan skuad Hijau Kuning membabitkan gandingan Kpah Sean Sherman dan Tchetche Kipre.

"Sememangnya pasukan berada di tahap terbaik dan berdepan JDT, kami perlu mengelak daripada dibolosi sementara menghasilkan jaringan," kata Kipre.

Bagaimanapun, ketiadaan tonggak pertahanan, Rodney Celvin, yang digantung perlawanan pasti dirasai naib juara Liga Super 2020 itu tatkala posisi pertahanan kiri tampak jadi lubuk serangan skuad Harimau Selatan.

"Kami perlu bersedia lebih awal untuk fokus bagi menghadapi perlawanan esok. Saya menjangkakan perlawanan yang sengit esok berdepan JDT," kata pertahanan Kedah, Ariff Farhan Md Isa.