Aksi persahabatan bertemu Sarawak di Stadium Likas, malam ini bakal memberi peluang kepada pengendali Sabah, Jelius Ating, menguji pemain import baharu pasukan itu.

Dua pemain import berkenaan ialah penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic, dan pertahanan Zambia, Francis Kasonde yang baru menandatangani kontrak, minggu lalu.

Selain itu, skuad Badak itu juga diperkuatkan dua pemain dari Korea Selatan, Lee Gil Hoon (penyerang) dan Heo Jaenyong (pertahanan/pemain tengah) yang telah membuat penampilan sulung dalam perlawanan pertama pusingan kedua liga bertemu Kuantan FA pada 24 Mei lalu.

"Perlawanan persahabatan bertemu dengan pasukan yang baik seperti Sarawak penting kerana kami dapat menguji serta meningkatkan lagi persefahaman dalam kalangan pemain, terutama dengan kemasukan empat pemain import baharu.

"Saya juga boleh mencuba beberapa formasi baharu yang sesuai dengan kualiti pemain yang kami ada sekarang walaupun saya jangkakan tidak banyak perubahan akan dilakukan.

"Namun, sekurang-kurangnya kami dapat tahu posisi mana atau formasi yang sesuai untuk pasukan ini," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, semalam.

Selain perlawanan malam ini, Sabah sekali lagi akan bertembung dengan skuad Ngap Sayot dalam aksi persahabatan kedua, juga di Stadium Likas, pada Ahad ini.

Perlawanan persahabatan itu juga dijangka memberi peluang kepada pasukan Sarawak untuk membuat persiapan sebelum saingan liga bersambung dengan skuad kendalian David Usop itu turut bakal bertemu skuad Piala Presiden Sabah pada Jumaat ini.