Everton membuat pembelian di hujung jendela perpindahan musim sejuk apabila melengkapkan pembelian Dele Alli daripada Tottenham.

Sebaik Frank Lampard disahkan secara rasmi sebagai pengurus baru semalam, kelab itu tidak berlengah lagi untuk menyokong falsafah bekas pengurus Chelsea tersebut yang diletakkan sasaran untuk memastikan kelab berkenaan kekal dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pembelian pemain berusia 25 tahun itu mendapat kelulusan untuk dimeterai selepas tarikh akhir pembelian bulan ini atas beberapa sebab sebelum kontrak dua tahun setengah di Goodison Park dimuktamadkan.

Ia mungkin menelan belanja hingga £40 juta (RM225.1j) sekiranya pelbagai klausa dicetuskan.

"Saya gembira dapat menandatangani kontrak bersama Everton, sebuah kelab besar dengan peminat dan sejarah yang hebat," kata Alli.






“Saya tidak sabar-sabar untuk bermula dan turun dalam perlawanan pertama saya dengan memakai jersi Everton.

"Saya juga tidak sabar lagi untuk membantu pasukan dan peluang untuk bekerja dengan pengurus baru, Frank Lampard."

Pemain tengah England itu menjadi muka kedua dipancing di bawah pengurusan baru itu yang terlebih dahulu mencapai kata sepakat dengan Manchester United untuk meminjam Donny van de Beek hingga hujung musim ini.