Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berharap agar Sergio Aguero akan muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat pasukan di hadapan penyokong sendiri apabila turun beraksi di Etihad menentang Crystal Palace, malam ini.

Aguero menjaringkan gol peribadinya yang ke-174 selepas meledak hatrik ketika menentang Watford, minggu lalu dan berpeluang memecahkan rekod milik Eric Brook yang mencatat 177 gol buat The Citizens.

"Rekod itu akan dipecahkan, cuma belum pasti di mana ia akan dilakukan. Jika Aguero melakukannya di laman sendiri, ia pasti lebih bagus," kata Guardiola.

"Saya tidak memikirkan tentang perlawanan hari ini untuknya menjaringkan tiga gol. Cukup jika meraih satu gol, memenangi perlawanan, pasukan beraksi baik dan kami memiliki peluang lebih cerah.

"Fokus utama kini adalah beraksi di tahap terbaik dan jika berjaya melakukannya, kami akan mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol.

"Anda harus sentiasa melakukan provokasi untuk mencatat jaringan melalui gaya permainan yang ditampilkan."

Aguero tidak tersenarai dalam himpunan 15 penyerang yang dicalonkan untuk menyertai kesebelasan utama FIFA FIFPro, namun bagi Guardiola, tiada sebab untuk Aguero berasa kecewa.

"Saya sentiasa meyakinkan pemain-pemain untuk berjuang dan menghargai rakan sepasukan.

"Ia satu hadiah yang hebat apabila dihargai oleh rakan sepasukan dan anda akan berbesar hati dapat membantu mereka.

"Penghargaan daripada media dan hadiah, ia bagus untuk 10 minit, tetapi akan hilang selepas itu. Aguero tiada dalam senarai FIFPro kali ini, pastinya dia akan ada dalam senarai seterusnya. Tiada masalah," tambahnya.