Manuel Pellegrini menafikan perbalahan di antara dia dan Marko Arnautovic sewaktu dibawa keluar dalam kemenangan 2-0 West Ham United ke atas Birmingham City bagi saingan pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.

Arnautovic menjaringkan gol pembukaan di Stadium London tetapi terpaksa dibawa keluar ketika permainan berbaki 18 minit walaupun tidak gembira dengan situasi itu.

Pellegrini menafikan bahawa dia memiliki sebarang isu dengan Arnautovic tetapi mendedahkan penyerang itu mahu terus bermain, namun pengendali dari Chile itu tidak mahu mengambil risiko.

"Bagus untuk tidak mengambil risiko memandangkan dia baru pulih daripada kecederaan. Dia beraksi 90 minit tiga hari lalu dan 65 minit dalam aksi berbeza, jadi tempoh rehat bagus untuk dia," kata Pellegrini.

"Tiada apa-apa masalah dan dia menjaringkan gol."

Pengganti Arnautovic, Andy Carroll, menambah gol kedua pasukan dan Pellegrini lega melihat bekas penggempur Liverpool itu kembali mendapatkan sentuhan jaringan selepas kali terakhir melakukannya setahun lalu.

"Carroll memikul beban karier di belakangnya. Dia adalah pemain yang sentiasa gembira untuk individu di sekelilingnya, terutama apabila dia bermain.

"Dia kembali selepas satu masalah kecederaan panjang dan diharapkan dia akan terus menyumbangkan sesuatu buat West Ham dalam babak kedua musim ini."

Pellegrini turut memberikan peluang buat pemain yang baru menyertai The Hammers, Samir Nasri, dan dia tampil hebat sehingga mencetuskan rasa kagum dalam diri Pellegrini.

"Nasri adalah satu perkara positif," tambah Pellegrini.

"Dia merupakan pemain yang sentiasa meningkat dalam setiap minit kerana dia seorang pemain hebat."