Pelayar negara terus mempamerkan aksi konsisten dalam hari kelima acara pelayangan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, hari ini.

Gandingan Muhammad Uzair Amin Mohd Yusof dan Naquib Eiman Shahrin -- pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura dua tahun lalu -- terus mendahului empat pasangan pelayar lain bagi kategori Antarabangsa 420 dengan mengutip lapan mata penalti setakat ini.

Kategori Antarabangsa 470 lelaki turut dikuasai pasangan pelayar negara, Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz yang mendahului pencabar lain selepas memperolehi 14 mata penali selepas lapan perlumbaan.

Wakil negara dalam aksi Laser Radial lelaki juga tidak kurang hebatnya apabila Ahmad Latif Khan -- yang membuat penampilan pertama dalam Sukan SEA -- beraksi cemerlang apabila memenangi satu daripada dua perlumbaan tersebut dengan kutipan lima mata penalti.

Skrip berbeza dalam Laser Radial wanita, apabila pelayar Olimpian wanita pertama, Nur Shazrin Mohamad Latif sedikit bergelut apabila menamatkan perlumbaan kelima di kedudukan kedua dengan lapan mata penalti.

Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Nurul Shazwanie Mohd Saad -- yang menyumbang emas pertama pelayaran menerusi Optimist Berpasukan -- kekal dalam kedudukan teratas selepas empat perlumbaan.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.