Pemerhati sukan negara, Haresh Deol, menganggap masih terlalu awal untuk mempersoalkan keberkesanan Pelan F:30 yang diperkenalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tersasar daripada hasrat sebenar.

Sasaran awal untuk meraih kedudukan ke-34 terbaik Asia menemui kegagalan selain usaha ke Sukan Olimpik 2020 turut menemui jalan buntu.

Begitupun, dengan menempelak Pelan F:30 sebagai omong kosong adalah tidak adil memandangkan pelan itu baru dilancarkan Oktober tahun lalu.

"Kita tidak bolah jangkakan sesuatu yang baru akan berlaku dengan langkah yang lama.

"Kalau misi yang disasarkan selama ini tidak menjadi, maksudnya mereka harus bubar perancangan selama ini dan mencari jalan baru.

"Pelan F:30 mungkin perancangan tersendiri dan pemegang-pemegang taruh mempunyai buah fikiran mereka sendiri," katanya.

Pelan F:30 dan Program Podium yang dilancarkan Kementerian Belia Sukan (KBS) sejak tiga tahun lalu memiliki banyak persamaan.

Bagaimanapun, untuk kebangkitan di peringkat tertinggi, sudah pasti ia memerlukan masa.

"Saya sendiri muak dengan masa kerana sudah lama kita dahagakan kejayaan, lebih-lebih di peringkat antarabangsa.

"Tetapi barisan kendalian Datuk Ong Kim Swee telah beraksi dengan cemerlang apabila tidak kalah kepada Filipina dan Laos selain seri dengan China.

"Mereka mendapat tujuh mata dan meraih tempat kedua hanya disebabkan perbezaan jaringan, ini menunjukkan sesuatu yang baik sedang berlaku," katanya lagi.