Mekanisme pelaksanaan lebih bersistematik seiring pemantauan rapi adalah perkara yang perlu ditekankan dalam DNA Bolasepak Malaysia, kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan.

Jurulatih berusia 61 tahun itu mengakui usaha mewujudkan DNA sebagai panduan memahami corak mengikut acuan bola sepak negara adalah langkah yang tepat.

Namun, kebimbangannya lebih terarah kepada kepincangan sistem sedia ada yang berpotensi mempengaruhi minat pemain remaja untuk terus bermain dan berusaha mencapai kejayaan.

“Ada DNA atau tiada DNA, kalau jumlah pemain remaja di peringkat akar umbi itu kurang, ditambah pula kekurangan perlawanan kompetitif dan tanpa waktu latihan yang mencukupi, macam mana DNA sekalipun ia tidak akan berhasil.

“Usaha mewujudkan DNA itu bagus tetapi apa yang penting adalah bukan hanya di atas buku sahaja, pelaksanaan yang merangkumi segenap aspek melibatkan komponen-komponen utama adalah mustahak untuk pembangunan setiap pemain muda,” katanya.

Semalam, buat julung-julung kalinya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan DNA Bolasepak Malaysia yang juga dipanggil ‘Cara Malaysia’.

Ia bertujuan memanifestasikan falsafah bola sepak negara yang merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat umur dengan menekankan formasi 4-3-3 sebagai asas permainan.

Mengulas lanjut, Sathianathan mengambil contoh Jerman dan Jepun, yang lebih memberi penekanan dan memandang serius terhadap proses pelaksanaan berbanding elemen lain.

“Di Jerman dan Jepun, mereka ada DNA tersendiri juga tetapi apa yang lebih penting di sana adalah wujudnya satu sistem di mana pemain yang ingin bermain bola dapat segala kemudahan diperlukan. Sudah tentu bila semuanya lengkap, ia akan menyemarakkan lagi semangat pemain,” katanya lagi.

-- BERNAMA