Pekerman tidak pernah ragui kemampuan Mina

Penulis Jemputan
Jun 27, 2018 13:53 MYT
Pengendali Colombia, Jose Pekerman, menegaskan beliau tidak pernah meragui kemampuan pertahanannya, Yerry Mina, walaupun pemain itu dilihat bergelut dengan permulaan karier bersama Barcelona.
Selepas berpindah dari Palmeiras ke Camp Nou pada Januari lalu, Mina hanya membarisi kesebelasan utama Barca sebanyak empat kali dan dalam jumlah itu, Barcelona cuma memenangi satu perlawanan.
Aksi itu termasuk kekalahan 5-4 ditangan Levante sehingga menyebabkan harapan Barca untuk meraih kempen LaLiga 2017/18 tanpa kalah lebur serta rekod tanpa tewas dalam 43 perlawanan terus berakhir.
Mina tidak beraksi dalam aksi pembukaan Colombia dalam Kumpulan H menentang Jepun tetapi kembali menguatkan barisan utama pasukannya sewaktu berdepan Poland sebelum membalas kepercayaan Pekerman dengan jaringan menerusi tandukan untuk meraih kemenangan 3-0.
Colombia, yang menuju aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan Senegal di Samara, memerlukan kemenangan untuk mara ke pusingan kedua dan apabila bercakap mengenai prestasi Mina, Pekerman berpendapat pemain bek tengah itu menghadapi tempoh enam bulan pertama di Catalonia dengan baik.
"Dalam sidang media sebelum Piala Dunia, saya telah dihujani pelbagai soalan tentangnya," kata Pekerman.
"Saya harus mengatakan bahawa dia melalui musim yang sukar bersama Barca, mereka gagal mengekalkan rentetan kemenangan.
"Ia tampak mudah walaupun sebenarnya tidak kerana mereka telah memenangi LaLiga dan terdapat tekanan buat mereka untuk melalui aksi tanpa kalah. Mina tidak beraksi dengan baik dalam perlawanan menentang Levante.
"Dia tidak bermain pada tahap sebenar seperti yang diharapkan. Saya rasa dia terkesan daripada persembahan buruk seluruh pasukan. Barca sering dibolosi oleh pasukan yang jarang menyumbat gol."
"Saya pasti ia sangat sukar buat Mina dan itulah cara dia menyertai kami untuk ke Piala Dunia tetapi kami tidak pernah meragui kemampuannya. Dia bakal menjadi salah seorang benteng terbaik dunia kerana dia berpotensi.
"Semestinya dia memerlukan sokongan daripada kelab serta rakan sepasukan untuk dirinya menyesuaikan diri di Barcelona dan dia akan beraksi seperti ketika mewakili Colombia dalam aksi terakhir. Saya yakin," tambahnya.
#Colombia #Piala Dunia 2018 #Yerry Mina #Jose Pekerman