Jose Pekerman masih tidak pasti mengenai kecederaan James Rodriguez tetapi amat bimbang dengan keadaannya.

Colombia mara ke pusingan 16 sebagai pemenang Kumpulan H hasil kemenangan 1-0 ke atas Senegal di Samara, semalam.

Bagaimanapun, mereka dipaksa beraksi tanpa Rodriguez untuk sebahagian besar waktu permainan selepas perancang Bayern Munich itu digantikan oleh Luis Muriel.

Kecederaan betis menyaksikan dia dipaksa tampil sebagai pemain gantian ketika tewas 2-1 kepada Jepun dalam aksi pembukaan, 19 Jun lalu, tetapi turun beraksi dalam kesebelasan utama ketika menang 3-0 ke atas Poland.

Riak wajah memperlihatkan kesakitan yang dialami pemain itu dan terpaksa meninggalkan padang awal sebelum tandukan Yerry Mina memberikan kemenangan untuk menyingkirkan Senegal.

"Apa yang boleh saya katakan adalah saya sangat bimbang, ia adalah satu situasi yang sukar buat pasukan saya," katanya.

"Saya tidak mahu menyuarakan perkara ini tetapi ia telah membayangi segala topik yang boleh dibincangkan.

"Ketika perlawanan berdepan Poland, Rodriguez agak penat kerana lama tidak beraksi dalam kesebelasan utama.

"Dia berlatih seperti biasa bersama pasukan sebelum perlawanan menentang Jepun tetapi kecederaan hadir bukan pada masanya. Kami berharap dia akan segera pulih," katanya lagi.