Jurulatih PDRM, E. Elavarasan, tetap menaruh keyakinan kepada barisan pemainnya untuk membuat kejutan dalam aksi pertama Piala Malaysia menentang Melaka, Ahad ini walaupun The Cops tempang tanpa empat tonggak utama.

Empat pemain terbabit adalah kapten yang juga penjaga gol, Shahril Saari, Uche Agba, Khairul Izuan Abdullah dan R. Gopinathan.

Shahril, Agba dan Khairul Izuan diketepikan akibat digantung perlawanan selepas mengutip kad merah dalam aksi terakhir Liga Perdana bertemu Pulau Pinang, 20 Julai lalu.

Gopinathan pula tidak dapat diturunkan kerana memegang status pinjaman daripada Persatuan Bolasepak Melaka.

Ketiadaan mereka sudah pasti memberi kesukaran kepada skuad PDRM untuk membuka langkah kanan dalam saingan Kumpulan D, Piala Malaysia itu.

"Kami perlu bermain walaupun kekurangan pemain. Perkara ini secara tidak langsung memberi semangat kepada pemain-pemain baru yang mengisi kekosongan tersebut. Bagaimanapun, kami akan sentiasa berusaha menghadapi perlawanan ini," katanya.

Elavarasan yang juga bekas jurulatih Melaka, bagaimanapun, mempunyai strategi memastikan pasukannya mampu menghadirkan tentangan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi di tempat lawan itu.

"Apa yang kami mampu lakukan adalah membuat persiapan. Jika anda bandingkan antara pasukan Liga Super dan Perdana, mereka jauh lebih baik tetapi ia tidak bermakna PDRM tidak akan cuba memberikan tentangan."