Presiden baru Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyatakan kesediaan mengadakan perjumpaan dengan pihak-pihak berkaitan demi kelangsungan persatuan itu.

Menurut Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu, perkongsian idea dengan bekas-bekas pemain dan barisan kejurulatihan akan diadakan bagi mengambil kira penglibatan mereka dalam membentuk persatuan yang efektif.

Serius dalam usaha memperkasakan sukan bola sepak di Terengganu, beliau berkata beberapa isu juga harus dinilai sebelum membuat sebarang kata putus sambil berhasrat meningkatkan pembangunan sukan itu.

"Pertemuan itu akan menjurus kepada usaha pihak kami dalam mencapai matlamat membentuk organisasi dan sebuah pasukan mantap," ujarnya.

Sambil menyambut baik pelantikan Dr Ahmad Samsuri, Pengerusi Jawatankusa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, memberi bayangan perubahan pimpinan PBSNT hanya bersifat sementara.

Bagi Wan Sukairi, perubahan itu dilihat selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam melakukan perubahan terhadap corak kepimpinan PBSNT.

Perubahan dimaksudkan ialah memastikan kebolehan PBSNT bergerak sendiri walaupun langkah itu mungkin mengambil sedikit masa.

"Sehingga ada seseorang berkaliber yang boleh mengetuai persatuan dengan berkesan, pelaksanaan ini akan dilakukan secara berperingkat.

"Demi kemajuan sukan bola sepak di Terengganu, pengurusan serta tadbir urus PBSNT tidak boleh disekalikan dengan pengaruh politik," ujarnya.

Kerusi presiden PBSNT bertukar tangan Sabtu lalu selepas ahli gabungan PBSNT sebulat suara meminda dan menerima perletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan melantik Dr Ahmad Samsuri secara automatik.