Didier Deschamps melabel Benjamin Pavard sebagai bintang baru selepas menampilkan aksi cemerlang bersama Perancis ketika muncul juara Piala Dunia.

Pemain berusia 22 tahun itu melepasi jangkaan apabila tampil beraksi bersama Les Bleus di Russia untuk membantu pasukan muncul juara dunia buat kali kedua.

Pertahanan Stuttgart itu, yang meledak jaringan terbaik kejohanan ketika mengatasi Argentina dalam pusingan 16, kini dilaporkan menjadi sasaran kelab utama England dan Jerman.

Bayern Munich dan Tottenham kuat dikaitkan dengan bekas pemain Lille itu dan Deschamps menyatakan pemain itu telah menampilkan kebolehan sebenarnya.

"Di sebalik kurang pengalaman beraksi di peringkat ini, Pavard dan Lucas Hernandez tampil beraksi cemerlang dan memberikan keseimbangan di jentera pertahanan," katanya.

"Mereka adalah pejuang yang memberikan banyak perbezaan dalam keputusan perlawanan. Pavard kini bergelar bintang dan dia berhak menerimanya.

Perancis akan kembali beraksi secara kompetitif pada September ini dengan kunjungan Munich untuk perlawanan Liga Negara-Negara UEFA.

Deschamps gembira dengan keputusan Jerman mengekalkan Joachim Low walaupun mereka tersingkir daripada peringkat kumpulan di Russia.

"Saya sangat gembira kerana sekali lagi dapat bertemu Low dan beliau dapat meneruskan khidmat bersama Jerman. Beliau seorang pakar taktikal yang berkualiti."