Ketika mula diberitakan kedatangan Paulo Bento ke Seoul untuk memegang jawatan pengurus The Taeguk Warriors, ia diraikan dengan cara yang amat sederhana. Penyokong Korea Selatan seolah-olah pesimis dengan pelantikannya. Tak dinafikan, beliau hadir dengan segudang prestasi, namun rasa tidak percaya itu lebih kepada pihak KFA; benarkah mereka mempunyai projek yang kukuh untuk mendukung aspirasi Bento nantinya?

Seluruh Asia menjadi saksi bagaimana di Piala Dunia 2018, skuad Korea yang dipimpin Shin Tae-Yong gagal keluar dari peringkat kumpulan kejohanan. Jelas, piawaian untuk gergasi Asia seperti Korea, Jepun, Arab Saudi dan Iran terutamanya sudah meninggi dan sekiranya mereka ke Piala Dunia sekalipun, tidak mara ke pusingan kedua sudah boleh dikira gagal.

Kegagalan tersebut akhirnya diletakkan di bahu KFA. Tidak boleh duduk diam, akhirnya projek baru bersama Bento pun mulai direncana. Ia seimbang setakat ini, biar hanya mara ke suku akhir Piala Asia 2019, Korea Selatan dilihat berada dalam tahap terbaik untuk mendapatkan tahun 2022 yang gemilang. Kita lihat TIGA aspek utama yang ditekankan Bento dalam membentuk identiti Korea Selatan baru.


1. ‘Tulang Belakang’ yang Cemerlang

Tak kira apa projek yang direncanakan oleh pasukan kebangsaan, sekurang-kurangnya tiga pemain harus dipercayai untuk menjadi tulang belakang pasukan. Dan pemain ini akan sentiasa dipanggil ke kem kebangsaan dan dimainkan tak kira sebesar atau sekecil mana perlawan tersebut.

Di sini, kita merujuk kepada segi tiga emas Korea Selatan; Son Heung-Min, Kim Min-jae serta Hwang Ui-Jo. Ketiga-tiga sudahpun melunaskan panggilan latihan ketenteraan mereka, bermain di Eropah serta konsisten bersama skuad kebangsaan. Boleh dikatakan merekalah pemimpin pasukan yang rata-rata dibarisi banyak pemain dibawah umur 25 tahun.


2. Jenama Bola Sepak Progresif

Di bawah Tae-Yong sebelumnya, Korea lebih banyak bermain sepertimana lazimnya orang Asia main ketika jumpa negara dari Eropah atau Amerika Selatan - lebih dalam, kebawah dan hanya menunggu untuk melancarkan serangan melalui satu atau dua pemain berkelajuan tinggi. Lihat saja gol Son ketika menewaskan Jerman di Rusia, itu cukup untuk menggambarkan identiti bola sepak antara negara terkuat Asia pada masa itu.


Namun kini, Bento lebih cenderung membawa pasukan menjadi lebih teratur, disiplin, mengutamakan kawalan bola dan secara total lebih ekspresif. Jika dilihat, Korea mampu membariskan satu skuad yang mana semua pemainnya mampu bermain di peringkat tertinggi Eropah. Adalah satu kerugian jika hanya bermain secara pasif dengan bakat yang ada, justeru keputusan Bento untuk melakukan eksperimen berani ini tampak semakin membuahkan hasil.


3. Kolam Bakat Yang Luas

Di tahun 2020/2021 sahaja, Bento telah memanggil lebih dari 55 pemain ke kem skuad kebangsaan. Ia adalah antara jumlah terbanyak dalam kalangan negara AFC. Ini jelas menunjukkan memilih pemain adalah bahagian yang memeningkan kepala untuk Bento - bukan kerana mereka ketandusan bakat sebaliknya kerana terlalu ramai yang menunjukkan kualiti mencukupi untuk mewakili Korea Selatan.

Ini jelas memberikan impak kepada kualiti keseluruhan pasukan. Satu atau dua kecederaan yang dialami pemain bintang mereka di peringkat kelab tak akan membuatkan mereka goyah. Bahkan mereka mungkin mampu membariskan dua skuad dengan kekuatan seimbang pada satu-satu masa.



Dengan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 yang masih berlangsung, sukar untuk kita lihat Korea Selatan tidak berada di sana satu tahun dari sekarang. Persoalanny sekarang, adakah segala potensi yang ditunjukkan Bento dan skuadnya ini bakal diterjemah kepada kejayaan di kejohanan besar? Mampukah mereka layak sekurang-kurangnya ke suku akhir? Masa yang mengujakan untuk semua peminat bola sepak Asia sesungguhnya.