Selepas melakukan penampilan menakjubkan bersama Barcelona, pemain tengah dari Brazil, Paulinho, menjelaskan dia langsung tidak memikirkan mengenai kritikan terhadapnya.

Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan gol kedua peribadi sejak meninggalkan Guangzhou Evergrande bulan lalu untuk bersama skuad kendalian Ernesto Valverde ketika menewaskan Eibar 6-1, Selasa lalu.

Kehadiran Paulinho ke Camp Nou mencetuskan persoalan mengenai kemampuannya sehingga membuatkan ramai peminat Barca meminta penjelasan daripada pasukan selepas bertindak mendapatkan bekas pemain Tottenham Hotspur itu.

Bagaimanapun, pemain tengah itu yakin dengan kepercayaan yang ditunjukkan oleh Valverde terhadapnya.

“Saya tidak mahu membuktikan apa-apa kepada orang yang meragui kemampuan saya, sebaliknya hanya mahu memberikan yang terbaik buat rakan sepasukan dan Barcelona.

“Perkara hebat yang dapat dilakukan di atas padang adalah meraih kemenangan dan menjaringkan gol dan saya gembira dengan sokongan daripada penyokong.

“Mereka gembira bersama saya,” kata Paulinho.