Kemenangan ketiga-tiga pasukan yang masih mempunyai peluang untuk merebut slot ke kejohanan Piala AFC musim hadapan terus menjadi rebutan di antara Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu kerana kesemua pasukan ini mengutip mata yang hampir sama.

Namun, penentuan itu akan ditentukan dalam perlawanan terakhir Liga Super malam ini dan sudah pasti bagi penulis pertemuan di antara Johor Darul Ta’zim dan Sabah akan menjadi tumpuan kerana Sang Badak betul-betul memerlukan kemenangan untuk memastikan slot ke Piala AFC dan tempat kedua Liga Super menjadi milik mereka.

Berdasarkan rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan itu, ia memang memihak kepada Harimau Selatan, namun dalam bola sepak tiada yang mustahil.

Memandangkan Sang Badak juga mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencipta sejarah tersendiri, sudah pasti Dato Ong Kim Swee akan menyusun strategi yang mampu memberi saingan kepada Harimau Selatan memandangkan pemain-pemainnya juga mempunyai pengalaman yang luas apabila bermain di bawah tekanan seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat dan Amri Yahya. Sekiranya Sang Badak dapat memberikan saingan dan bermain mengikut perancangan Kim Swee, tidak mustahil mereka boleh mencipta kemenangan.

Sementara itu, bagi Negeri Sembilan pula, ia mungkin tidak menjadi masalah untuk mencipta kemenangan apabila berhadapan dengan Sri Pahang yang prestasinya kurang memberangsangkan kebelakangan ini.

Namun, pemain Hoben Jang Hoben perlu bijak mengawal tekanan ketika ingin merebut kedudukan naib juara Liga Super dan slot ke Piala AFC musim depan dan mereka tidak boleh melakukan kesilapan. Jika diperhatikan anak didik K. Devan itu mempunyai kelebihan untuk mencipta kemenangan kerana mereka mempunyai kekuatan di semua bahagian berbanding Sri Pahang.

Bagi Terengganu pula, ia mungkin agak sukar apabila bertandang ke Darul Aman untuk berhadapan dengan Kedah dalam perlawanan terakhir. Ini kerana skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu juga ingin mencari kemenangan bagi menutup tirai liga dengan kenangan manis di laman sendiri. Sudah tentu keinginan untuk menyekat peluang yang dimiliki Sang Penyu tinggi bagi pemain-pemain Hijau Kuning kerana kemenangan itu akan membawa tonik baru sebelum Piala Malaysia membuka tirai.

Atas faktor yang dinyatakan itu ketiga-tiga perlawanan yang membabitkan Sabah, Negeri Sembilan dan Terengganu menarik untuk disaksikan kerana ketiga-tiga pasukan ini bermain dalam tekanan dan sudah tentu akan menguji sejauh mana kekutan mental dan fizikal mereka. Jadi, sama-sama kita nantikan pasukan mana yang layak menjadi naib juara Liga Super dan layak ke Piala AFC?.

Kredfit foto: Sabah FC