Bekas bintang Liverpool, Luis Garcia, percaya penting untuk kelab itu memastikan pemain sasaran Barcelona, Philippe Coutinho, kekal di Anfield.

Pemain berusia 25 tahun itu menjadi sasaran utama gergasi Sepanyol itu ketika jendela perpindahan pemain dibuka, namun Liverpool bertekad memastikan pemain itu tidak berganjak.

Garcia -- yang menjuarai Liga Juara-Juara bersama Liverpool -- bercakap tentang kepentingan Coutinho bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

"Sudah tentu semua pasukan mahukan pemain seperti Coutinho di dalam pasukan mereka kerana dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, dia membuktikan betapa pentingnya sumbangannya untuk Liverpool," kata Garcia.

"Banyak pasukan yang mahukan khidmatnya. Jadi, bagi Liverpool, saya rasa amat penting untuk mereka menyimpannya.

"Jika mereka mahu menjadi pesaing musim ini, mereka perlu mengekalkan pemain tonggak."

Meskipun tanpa Coutinho, Jurgen Klopp memulakan aksi liga dengan mantap apabila meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan setakat ini.

Kemasukan terbaru, Mohamed Salah, telah menampilkan aksi berkesan apabila menyumbat tiga gol selelpas lima perlawanan.

"Kemasukan Salah amat penting," kata Garcia.

"Dia sudah menyesuaikan diri dengan baik dan mempamerkan keserasian dengan pemain lain.

"Segala-galanya tampak baik buat Liverpool ketika ini."