NICE 1 PSG 2

Thiago Silva menyasarkan aksi perlawanan akhir Coupe de France sebagai kemunculan semula Neymar, bagaimanapun Paris Saint-Germain (PSG) perlu melepasi ujian Caen terlebih dahulu.


Bintang Brazil, Neymar, masih berehat selepas menjalani pembedahan metatarsal pada akhir bulan lalu dan dipinggirkan selama tiga bulan.

Justeru, dia mungkin terlepas baki kempen musim ini selain berhempas-pulas untuk pulih bagi menghadapi Piala Dunia di Russia, musim panas nanti.

Juara tiga kali, PSG, bakal menghadapi Caen dalam aksi separuh akhir Coupe de France pada 14 April depan dan jika menang, Silva berharap rakan senegaranya itu sempat pulih untuk aksi final pada 8 Mei nanti.

"Saya menunggu minggu depan untuk berbincang dengannya," kata Silva selepas PSG membenam Nice, 2-1, awal pagi tadi.

"Saya fikir dia baik-baik saja setakat ini, dia masih perlu berehat.

"Kemudian, dia boleh memulakan usaha pemulihannya. Kami menjangkakan dia akan kembali pada akhir musim ini, mungkin untuk perlawanan akhir Coupe de France, kami akan cuba memenangi pertandingan ini untuknya.

"Sudah tentu, dia perlu bersedia untuk Piala Dunia. Adalah penting untuk dia kembali, tidak terlalu awal tetapi pulih dengan baik serta tidak mengambil risiko dalam Piala Dunia dan musim depan.

"Saya fikir jika dia pulih dengan baik, mungkin dia dapat beraksi dalam final Coupe de France yang dianggap penting buat kelab ini," katanya.

Tandukan lewat Dani Alves memastikan kemenangan PSG untuk peneraju Ligue 1 itu bangkit ketika berkunjung ke Allianz Riviera.

Jaringan sulung Alves dalam kancah Ligue 1 itu pada minit ke-82 menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan selepas Angel Di Maria terlebih dahulu memadamkan jaringan Allan Saint-Maximin (m-17).

Di Maria semakin menyerlah sejak menggalas beban ketiadaan Neymar dengan menyumbat jaringan ke-11 pada minit ke-21.