Penyandang pingat emas 100 meter kategori T36, Ridzuan Puzi, mahu tutup mulut pengkritik dengan cuba mempertahankan pingat emas di Tokyo biarpun terdapat segelintir pihak yang skeptikal dengan faktor umur Ridzuan yang kini berusia 33 tahun berbanding pesaingnya yang lain.

Dan bekas pemegang rekod dunia itu masih mempunyai keinginan tinggi untuk cuba terus beraksi sehingga Paris 2024.

"Masa di Rio saya dapat pingat emas, tapi di Tokyo ini saya mengidam perbaiki rekod dunia saya lagi," kata Ridzuan.

"Rasa tekanan itu ada, tapi ingat lagi kenangan masa saya dapat emas di Rio, saya rasa saya boleh memperolehnya sekali lagi di Tokyo.

"Saya berasakan masih mampu bersaing, dapat perbaiki catatan larian dan kalau boleh saya nak terus beraksi lagi di Paris."


Ziyad Zolkefli, Latif Romly dan Ridzuan Puzi mengetuai kumpulan ketiga kontinjen Malaysia berlepas ke Tokyo semalam bagi mengharungi Sukan Paralimpik Tokyo.

Kumpulan terbesar itu juga melibatkan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet olahraga, Siti Noor Iasah Mohd Ariffin yang ditugaskan selaku pembawa Jalur Gemilang bagi acara pembukaan Paralimpik Tokyo Selasa ini.

Sesi pelepasan kontinjen negara disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, turut dihadiri bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.